Saturday, 11 April 2020

Selamat Datang

Teks : Nor Azua Ruslan




Sumber Imej : Google

Blog ini diwujudkan bagi tujuan berkongsi minat, pengalaman dan pengetahuan tentang rekabentuk untuk dijadikan panduan buat pembaca sekalian. Saya meminati bidang senibina & dekorasi serta fesyen & jahitan. Justeru, saya mahu berkongsi minat ini supaya dapat dimanfaatkan oleh pembaca semua. Saya akan memfokuskan kepada panduan rekabentuk perabot serta perkongsian projek dekorasi dan jahitan dress kanak-kanak. Saya percaya semua wanita berbakat dan sangat mahir dalam multi-tasking. 


Semoga bermanfaat.


NOR AZUA RUSLAN

Penulis,
[ blog Panduan Rekabentuk : Dekorasi & Jahitan ]
[ blog SARA Shopstyle ]

Pengasas,
[ SARA Shopstyle ]

Penulis bersama, 
[ blog Panduan Perancangan Kewangan ]

Sunday, 3 August 2014

Eid Mubarak

Teks : Nor Azua Ruslan

 
Ikhlas dari kami ; Helmy Sara Wawa

Jazakallah

Wednesday, 16 July 2014

Ramadhan Mubarak

Teks : Nor Azua Ruslan




Mabruk sahabat-sahabat pembaca yang saya kasihi sekalian. Sudah lama nampaknya saya tidak menulis. Sudah pertengahan Bulan Ramadahan pula tu. Harapnya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa tahun ini ya kawan-kawan semua. InsyaAllah saya akan kembali menulis. 

Bukan apa, sejak entri terakhir saya yang lepas, saya bercuti dengan keluarga. Sekembali dari percutian tersebut, saya kurang sihat, hilang selera makan, sering loya, mual dan mengalami pedih ulu hati tidak kira masa. Alhamdulillah Allah beri saya rezeki pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Berbeza dengan pengalaman mengandungkan puteri saya dahulu, sindrom nausea ini hanya menyerang waktu malam, kali ini dia datang tak kira masa pula. Semoga saya kuat mengharungi bulan mulia ini. Sudah beberapa hari terpaksa berbuka kerana loya dan pedih ulu hati yang agak teruk. Kekadang saya agak stressDoakan kesihatan saya ya sahabat semua. 


Jazakallah.

Wednesday, 18 June 2014

Kehilangan

Teks : Nor Azua Ruslan


Hari ini saya kehilangan seorang sahabat. Berita pemergiannya malam tadi sungguh mengejutkan, bila saya hanya menerima berita tersebut pagi tadi. Beliau yang saya kenali sangat sopan dan lembut tutur katanya. Suka merendah diri dan seorang yang sentiasa tersenyum di saat suka mahupun duka.

Saya kenali beliau sewaktu sama-sama menjalani Practical Training di firma arkitek, T.R. Hamzah & Yeang di Ampang (TRHY) . Beliau dari Universiti Islam Antarabangsa manakala saya dari Universiti Sains Malaysia. Di TRHY kami bertemu. Setelah masing-masing menamatkan pengajian, kami kembali semula untuk membina karier sebagai Arkitek di TRHY. Beliau saya panggil dengan panggilan mesra Kak Sue. Kami selalu bekerja sepasukan. Kami pernah masuk pertandingan rekabentuk rumah untuk pemaju Island & Peninsular Berhad  bersama-sama. Kami pernah habiskan masa di ofis sehingga lewat malam dan ke kilang model maker di saat-saat akhir. Pengalaman kami selalu bekerja dalam satu pasukan memang menyeronokkan. Kami membesar di TRHY. Kami mengikuti perkembangan masing-masing. Dari bertunang hingga ke pelamin.

Kak Sue yang saya kenali seorang yang berani, yakin dan punya pendirian. Di sebalik karakternya yang lembut, dia sebenarnya tegas dan sangat bercita-cita tinggi. Tahun 2007 Kak Sue mohon Working Holiday Visa untuk meninggalkan tanah air dan berhijrah ke Manchester, UK.  Saya tahu, Kak Sue memang seorang yang berani kerana Kak Sue tinggalkan semua yang dia ada untuk merantau ke UK. Tahun 2008 saya pula ikut jejak Kak Sue ke UK. Tetapi, saya ke sana untuk menyambung pelajaran.

Kak Sue sentiasa saya hubungi. Sampai Manchester, saya terus ke rumah Kak Sue di Salford keesokan paginya. Saya sendiri jadi berani, naik bas seorang diri dengan hanya berpandukan arah melalui Kak Sue yang memberi panduan hanya melalui corong telefon. Kami berjumpa lagi di bumi Manchester, UK. Waktu itu, Kak Sue punya seorang cahaya mata yang sangat comel. Benjamin Ezry namanya. Teman bermain saya waktu itu. Saya amat suka melayan Ben dan bergurau dengannya. Kami buat keputusan untuk mencari rumah dan tinggal bersama-sama. Alhamdulillah, syukur pencarian kami tidak lama dan rezeki kami terus dapat rumah di Rusholme. Rumahnya besar dan elok. Lokasi pula strategik ; berdekatan universiti dan sumber makanan halal.



Ka Sue orang pertama ajar saya naik First Bus di Manchester, Kak Sue orang pertama bawa saya jalan di Manchester Arndale, Kak Sue ajar saya jalan kaki ke car boot di Salford City. Pertama kali saya beli lampu meja (table lamp) dengan harga 1 Pound Sterling. Kak Sue ketawa lihat saya yang sangat teruja ke car boot waktu itu. Kak sue ajar saya cara berjimat cermat. Kak Sue buat tabung dapur. Kak Sue ajar potong ayam 12 bahagian dan bungkus siap-siap 4 bahagian dalam bungkusan kecil-kecil supaya menjamin kesegaran ayam tadi. Kak Sue ajar saya cara masak ringkas tapi sedap. Kegemaran saya ialah kurma dan salad mayo. Kak Sue ajar DIY nasi impit sendiri tanpa beli nasi impit segera. Kak Sue masak hidangan hari raya. Kak Sue dan keluarga menjadi keluarga saya semasa kali pertama sambut raya di perantauan. Saya jauh dari suami dan keluarga. Maka, Kak Sue adalah tempat saya mengadu bila ada masalah untuk menyesuaikan diri atau masalah tugasan di uni. Kak Sue pandai masak, pandai menjahit. Kak Sue suka warna merah, Kak Sue suka tudung bawal. Kak Sue suka pakai baju kurung dan kaftan. Kak Sue suka hidang pencuci mulut lepas makan. Ice cream 2 scoop dengan 2 slice buah peach. Oh, Kak Sue juga suka Terry's Chocolate Orange bila pertama kali diperkenalkan oleh rakan uni saya, Aimi dan Liyana. Bila Kak Sue balik Malaysia, hidup saya agak huru-hara dan kelam kabut seorang diri sementara menunggu suami saya datang dari Malaysia. Baru saya tahu selama ini Kak Sue manjakan saya.

Kak Sue mengajar saya surviving skills di UK. Kak Sue ajar saya jadi berani dan yakin. Kak Sue sabar layan karenah saya. Kak Sue tak pernah jemu bagi dorongan kepada saya. 




Nak cari kerja, nak recommendation letter, saya cari Kak Sue, nak tanya pasal gaji Arkitek saya tanya Kak Sue, nak pergi TRHY saya telefon Kak Sue dulu, nak surat sokongan Ken Yeang, saya tanya Kak Sue. Nak tulis dissertation pun, tulis pasal Kak Sue.


Ya Allah, banyak sudah jasa Kak Sue pada saya. Semoga Allah membalas segala budi baikmu Kak Sue dengan ganjaran Jannah. 

Kali terakhir saya berjumpa Kak Sue sewaktu pulang dari Zoo Negara April lepas. Saya telefon Kak Sue nak singgah pejabat TRHY. Dia begitu gembira dengan kehadiran saya. Kami berbual dan Kak Sue bertanya bila lagi saya mahu tambah cahaya mata. 

Kehadiran Kak Sue dalam hidup saya cuma sebentar tapi terlalu banyak memori yang kami lalui. Saya masih terkesan dengan kehilangan Kak Sue. Semua memori bersama Kak Sue berlegar-legar dalam kepala saya. Justeru, saya luahkan dalam penulisan di sini. Saya terbayang wajah anak-anak kecil Kak Sue, iaitu Ben dan Yasmin dan pastinya Abg Wan, suami Kak Sue sangat terkesan dengan kehilangan ini. Ya Allah, pelihara mereka Ya Allah dan permudahkan semua urusan keluarga Kak Sue.

Terima kasih Kak Sue atas persahabatan ini. Wawa akan simpan kenangan bersama Kak Sue sampai bila-bila. Semoga Allah merahmatimu di sana.

Saya sedang bersiap untuk ke majlis pengebumian Kak Sue. Semoga ada rezeki saya untuk menatap wahahnya buat kali terakhir.

Amin Ya Rabb

Wednesday, 11 June 2014

Dekorasi Seni Khat

Teks : Nor Azua Ruslan


Seni khat moden atau khufi menjadi trend terkini dalam dekorasi hiasan dalaman kediaman masa kini. Saya sendiri berpengalaman menempah nama saya, suami dan bidadari kecil saya untuk diabadikan sebagai seni khufi sebagai tanda kenang-kenangan dan juga hadiah hari lahir suami saya pada tahun lepas. Saya membuat tempahan melalui Facebook Khufi Art dan hari ini ketika menggunakan google untuk membuat carian 'seni khufi', saya terjumpa tuan punya blog Khufi Art ini.


Sumber : khufiart.blogspot.com

Seingat saya, proses tempahan amat mudah dan berjalan lancar. Ini kerana sudah ada album portfolio mereka di Facebook dan blog yang memudahkan pelanggan melihat hasil kerja mereka. Ini memudahkan pelanggan seperti saya untuk membuat pilihan. Saya memilih seni khufi yang berwarna-warni ini kerana saya mahu suntikan ceria di dinding saya. Saya masih dalam proses dekorasi di rumah baru. Saya baru berpindah ke kuarters 4 bulan yang lepas. Penat pindah sudah hilang, namun penat mengemas dan menghias masih ada. Masih ada kotak-kotak yang belum dibuka. Nampak agak perlahan projek dekorasi saya. Di bawah ialah imej seni khufi yang telah saya tempah dari Khufi Art. Hasilnya kemas dan sewaktu menerima bungkusan, semua seni khufi di dalam frame gambar ini dibalut kedap dan kemas. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada tuan Khufi Art yang amat prihatin tentang kondisi bungkusan yang akan sampai ke tangan pelanggan.
Sumber : khufiart.blogspot.com

Berdasarkan pemerhatian saya , seni khufi ini telah berevolusi dari segi rekabentuknya dari semasa ke semasa mengikut kehendak pasaran dan telah digunakan dengan meluas sekali, bukan sahaja sebagai perhiasan dinding, malah di gunakan secara meluas dalam rekabentuk produk seperti cenderamata ; t-shirt, mug, kad jemputan, ya'sin, goodies dan sebagainya.

Sumber : www.karyakufi.com

Sumber : khufiart.blogspot.com
Sumber : mamaannezz.blogspot.com
Sumber : Oh Pretty Please FB

Sumber : Oh Pretty Please FB

Masih ingat entri saya tentang kisah fireplace yang saya bawa pulang ke Malaysia? Saya ada menyebut tentang projek dekorasi fireplace bukan? Untuk pengetahuan semua, fireplace tersebut saya letakkan ia dengan berlatar belakangkan dinding berwarna oren. Semasa saya berpindah masuk ke rumah saya yang baru ini, dinding ini memang baru dicat berwarna oren sebagai feature wall, manakala dinding yang lain dicat warna krim. Sebentar tadi saya membuat carian di google dan terjumpa dengan seni khufi yang menggunakan seni grafik dalam rekabentuknya. Saya amat berkenan dengan rekabentuk seperti imej di bawah ini. Saya mahu suai padankan di feature wall oren saya. Kalau anda tahu di mana saya boleh tempah canvas khufi grafik seperti imej di bawah, mohon hubungi saya ya.

Sumber : google
Berikut ialah lakaran idea dekorasi feature wall saya. Saya bercadang meletakkan canvas khufi grafik Allah dan Muhammad SAW tersebut di dinding. Selain itu, saya bercadang membuat wall beading di kiri dan kanan fireplace ini juga. Juga ada beberapa aksesori perhiasan yang saya telah saya senaraikan dalam wishlist deco saya. Nantikan hasilnya ya.
 

Sekiranya anda berkenaan dengan salah satu hasil seni khufi di atas, sila lawat page dan blog mereka seperti berikut:




http://mamaannezz.blogspot.com


Semoga bermanfaat
Jazakallah


Friday, 6 June 2014

Kisah Pindah Rumah dan Kenangan

Teks : Nor Azua Ruslan


Hari ni genap 23 bulan usia cik sarah. Sebulan lagi hari lahir Sarah. Gambar dia atas diambil ketika berpindah dari rumah lama kami di Saujana Aster Condominium. Garland tersebut adalah item terakhir yang ummy sarah buang semasa proses mengemas dan berpindah rumah. Sedih juga mengingat kembali kenangan semasa tinggal di rumah ini. Sengaja ummy dan abah pindah ke sini sebaik pulang ke Malaysia untuk keselesaan cik sarah yang bakal lahir waktu itu. Ummy teruja menunggu kelahiran Sarah. Ummy hias sehabis baik nursery Sarah.





06 Julai 2012 Sarah melihat dunia. Di bawah pokok berdekatan swimming pool abah tanam uri Sarah. Di swimming pool ini juga Sarah mula belajar berenang. Dan di swimming pool ini juga Sarah dapat chest infection dan dimasukkan ke hospital. Di sini juga ummy dan abah lihat sarah membesar, mula berpusing, merangkak, berdiri dan berjalan. Di sini kenangan ummy dan abah bersama sarah yang akan kami kenang sampai bila-bila.


Tahun ini kita sambut hari jadi di rumah baru ya sayang?

Salam sayang,
Ummy Sarah.

Friday, 30 May 2014

Mengenal Haiwan, Tips dan Pengalaman Ke Zoo Negara

Teks : Nor Azua Ruslan

Awal bulan lepas April yang lepas, kami sekeluarga ke Zoo Negara. Ini kerana Sarah sudah selesai modul Animal Kingdom di Playgroup Excel Khalif. Topik ini berjalan selama 8 minggu. Macam-macam haiwan yang Sarah pelajari. Antaranya, zirafah, dinosour, singa, penguin, burung, kura-kura dan beruang. Modul Animal Kingdom ini merupakan modul terakhir dalam siri Playgroup di Excel Khalif ini. 



Video : Lagu kegemaran Sarah: Let's Go To The Zoo

Maka, setelah modul ini selesai, kami sepakat untuk membawa Sarah melihat sendiri dan merasai pengalaman baru dalam mengenal dunia haiwan. Sarah sangat teruja meilhat semua haiwan di Zoo Negara secara langsung di depan mata, berbeza dengan reaksi Sarah apabila melihat paparan haiwan di kaca TV. Semasa kami ke Zoo Negara, kerja-kerja ubahsuai giat dijalankan. Oleh yang demikian, banyak tempat ditutup dan belum beroperasi. Antara tempat yang ditutup / belum beroperasi ialah Rumah Panda, Rumah Reptilia, Rumah Rama-rama dan Rumah Lebah. 

Tips 1: Sila semak dahulu dengan Zoo Negara status kerja-kerja ubahsuai sebelum rancang lawatan. Lebih berbaloi ke sana apabila semua kerja-kerja ubahsuai siap dijalankan.

Lawatan ke Zoo Negara ini seolah 'come back' kepada saya kerana semasa saya kecil, saya kerap ke sini. Ini kerana saya suka bertandang ke rumah Pak Ngah saya yang terletak berdekatan dengan Zoo Negara ini, iaitu Taman Zooview. Dari rumah Pak Ngah, saya boleh dengar bunyi ngauman singa di tengah malam dan boleh mendengar suara penonton bersorak semasa pertunjukan pentas. Saya masih ingat pengalaman saya yang selalu merengek hendak ke rumah Pak Ngah, hanya kerana rumahnya berhampiran Zoo Negara. Dengan harapan dapat pergi zoo selalu. Lagipun saya suka berkawan dan bermain dengan sepupu saya yang comel -comel waktu itu. Kini, kami masing-masing sudah besar dan seingat saya kali terakhir saya ke Zoo Negara adalah pada tahun 2004. Waktu itu Zoo Negara mengadakan Safari Night Life. Saya ke sana membawa adik-adik saya yang masih kecil waktu itu.

Kami tiba di Zoo Negara lebih kurang jam 11.00 pagi. Harga tiket dewasa ialah RM30 dan untuk kanak-kanak bawah 3 tahun seperti Sarah adalah percuma. Kami dimaklumkan bahawa Pertunjukan Haiwan sudah pun bermula. Kami cuba berlari ke pentas pertunjukan dan sempat juga  menonton pertunjukan singa laut. Kami hanya dapat menonton sebentar sahaja kerana 15 minit kemudian, pertunjukan pun tamat. Kami memasang hajat jika sempat, kami akan tonton pertujunkan seterusnya pada jam 3.00 petang. 

Sumber Imej : Website Zoo Negara
Imej : Bergambar kenangan di pentas pertujukan
Tips 2 : Cuba datang lebih awal ya. Boleh tonton pertunjukan haiwan sesi 11.00 pagi. Cuaca awal pagi pun kurang panas. Bawa botol air besar kerana anda dan anak-anak pasti haus di sepanjang perjalanan.

Kami memilih untuk berjalan kaki sahaja sepanjang sesi lawatan. Agak memenatkan tetapi lebih seronok berjalan berbanding menaiki tram. Tidak seperti sewaktu saya kecil dahulu. Perkhidmatan tram adalah percuma. Kini perkhidmatan tram dikenakan bayaran RM5.00 untuk dewasa dan RM3.00 untuk kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas.



Kami mulakan eksplorasi dengan melawat akuarium yang terletak berdekatan dengan pentas pertunjukan. Berhadapan pentas juga terdapat rumah penguin. Penguin-penguin diletakkan di dalam rumah kaca. Sarah terpegun dengan penguin-penguin comel tersebut.

Sumber Imej : Website Zoo Negara
Zoo Negara sangat luas. Perjalanan agak memenatkan. Terdapat bangku-bangku rehat disediakan di kiri atau kanan jalan di sepanjang perjalanan.

Tips 3 : Galakkan anak kecil berjalan atau duduk di dalam stroller / push chair atau gunakan baby carrier.  Jika penat, duduk seketika untuk melepaskan lelah. Ini penting supaya anak sentiasa seronok dan tidak terlalu penat jika dipaksa meneruskan perjalanan.

Tips 4 : Rancang perjalanan anda. Lihat dahulu peta Zoo Negara dan buat perancangan hendak mulakan perjalana dari mana. Dapatkan peta ini secara percuma di pintu masuk Zoo Negara atau cetak dari laman web Zoo Negara.

Tips 5 : Bawa snek atau bekalan ringan supaya dapat mengisi perut yang lapar. Kami berhenti seketika di restoran berdekatan Dataran Dato Islmail Hutson. Di sini ada restoran yang menjual burger dan makanan goreng.

Imej : Bergambar dengan latar belakang singa

Imej : Aktiviti kraf membuat singa

Imej : Bergambar dengan latar belakang zirafah

Imej : Aktiviti kraf membuat zirafah menggunakan penyepit baju

Imej : Aktiviti kraf membuat ular
Tiada pengalaman bergambar dengan ular kerana rumah reptilia ditutup

Imej : Aktiviti kraf membuat kolaj kura-kura


Imej : Bergambar di depan rumah penguin



Imej : Aktiviti kraf membuat topeng penguin
Imej : Berpeluang begrambar dengan burung semasa Animal Show jam 3 petang

Imej : Aktiviti kraf membuat kolaj burung