Teks: Nor Azua Ruslan
Bagaimana saya mula menceburi bidang jahitan?
Bengkel Jahitan
Saya mula menghadiri bengkel jahitan bermula bulan Jun 2013. Saya berguru dengan salah seorang pereka tempatan yang dikenali dan telah beberapa kali muncul di kaca TV. Terbaru, saya dengar khabar Cikgu saya, Yasalma akan ada segmen jahitannya sendiri di rancangan TV Alhijrah. Cikgu saya juga bakaI menerbitkan buku-buku jahitannya sendiri. Insyaallah, tak sabar saya nak tonton dan miliki buku-buku jahitannya.
Berbalik kepada kisah saya, lama saya pendam hasrat nak menghadiri bengkel jahitannya Cikgu Yasalma. Alhamdulillah, Allah permudahkan juga.
Bengkel diadakan selama sehari di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Bersemangat betul saya waktu itu. Siap bawa anak sekali. Waktu itu bayi saya baru berusia 11 bulan. Asalnya saya tinggalkan di nursery tapi tak sampai hati betul waktu itu bila ditinggalkan, dia menangis tak henti. Waktu itu, dia selsema pula. Pulang ke rumah untuk bersiap, saya teringat-ingat wajah bidadari kecil yang saya tinggalkan tadi. Saya Whatsapp cikgu saya, mujur dia bermurah hati dan membenarkan saya membawa bayi saya sekali.
Jujurnya, saya tiada asas menjahit. Seingat saya kali terakhir saya menjahit ketika tingkatan 3 untuk subjek Kemahiran Hidup. Tugasan yang cikgu saya beri pada waktu itu ialah pattern baju kurung kedah. Itulah kali pertama dan terakhir saya menjahit. Saya sendiri sudah lupa pattern baju kurung kedah tersebut. Walaubagaimanapun, saya meminati bidang jahitan dan selalu berangan-angan kalaulah saya boleh jahit baju rekaan saya sendiri.
Di Bengkel Yasalma, saya bermula dengan belajar pattern jubah. Cikgu menerangkan langkah demi langkah dengan jelas. Pelajaran asas dimulakan dengan hanya menggunakan kertas. Macam buat baju anak patung mini kita kecil2 dulu. Kata cikgu, tujuannya sebagai memberi kefahaman asas idea tentang bahagian baju yg kita perlu buat nanti. Setelah pelajar faham idea asas dan berkeyakinan, barulah pelajar akan praktiskan menggunakan kain pula. Saya belajar mengukur, melakar, memotong dan mencantum sehinggalah jubah siap di bengkel cikgu saya. Semuanya tanpa pola! Itu yang uniknya. Formula Cikgu Yasalma ajar pun sangat ringkas. Teknik 'short cut' katanya. Khas untuk mereka yang tiada asas langsung dalam jahitan.
Seronok dapat belajar pattern jubah, seterusnya saya belajar pula pattern princess cut dress. Uniknya, kali ini saya belajar melalui Whatsapp sahaja dengan guru yang sama. Tak perlu naik kereta lagi nak ke bengkel cikgu. Selesai belajar princess cut dress, saya belajar fishtail blouse dan palazzo pula.
Kelas jahitan melalui Whatsapp ini bermula langkah demi langkah, penerangan yang cikgu bagi amat jelas dan pelajar boleh ambil masa sendiri untuk siapkan. Pengalaman saya, kelas berjalan sewaktu saya sedang bekerja di pejabat. Bertalu-talu bunyi Whatsapp masuk menandakan cikgu sedang memberi penerangan langkah demi langkah lengkap bergambar. Memandangkan saya di pejabat, saya hanya membaca nota-nota tersebut. Bila tiba malam hari, barulah saya ikut langkah-langkah tersebut.
Ada kalanya saya sibuk dan letih bila pulang dari pejabat, hujung minggu baru saya ulangkaji nota-nota dan buat dari mula sampai ke nota terakhir cikgu. Kelas berjalan agak lama, lebih kurang seminggu untuk satu pattern. Ini perbezaan antara kelas Whatsapp dan bengkel. Ini kerana, dalam kelas Whatsapp, cikgu akan beri penerangan tentang satu langkah dahulu sehingga semua pelajar faham, barulah langkah seterusnya diterangkan, dan seterusnya sehinggalah baju pelajar berjaya disiapkan.
Mungkin ada yang rasa macam sukar belajar menjahit tanpa cikgu di depan mata tetapi hasil kelas Whatsapp ini amat mengagumkan. Sudah terbukti ramai yang tiada asas menjahit macam saya pun boleh berjaya siapkan tugasan. Tahukah anda, ramai juga pelajar-pelajar yang lain telah berjaya memulakan bisnes jahitan setelah berguru dengan cikgu saya melalui kelas Whatsapp ini?
Jahit Tangan
Saya sendiri tidak ada mesin jahit waktu itu tetapi saya tekun menyiapkan tugasan mencantum dengan jahitan tangan semata-mata. Kata cikgu saya, ''Mesin tak penting, yang penting ilmu. Dah ada ilmu barulah beli mesin''. Saya akui perkara ini. Berapa orang di antara kita beriya-iya membeli dahulu gajet terkini yang canggih dan memasang cita-cita untuk belajar kemudian, namun akhirnya terkubur begitu sahaja? Gajet dah canggih tapi sayang tersimpan umpan habuk sahaja. Lebur duit tadi tiada pulangannya.
Sebenarnya ada banyak lagi pattern baju yang cikgu saya ajar dan kita boleh pilih nak belajar pattern yang mana. Nampak tak teknologi yang ada boleh menjadi manfaat jika di gunakan sebaiknya? Kreatif kan cikgu saya? Mungkin ada yang bertanya kalau saya dah belajar melalui Whatsapp, forwardkan sahaja nota-nota tersebut secara percuma, bukan? Saya mohon maaf tidak dapat berbuat demikian kerana semua pelajar telah membuat perjanjian tidak akan menyebarkan ilmu tersebut tanpa izin cikgu. Semua nota-nota tersebut merupakan hak cipta terpelihara cikgu saya dan eksklusif hanya untuk pelajar-pelajarnya sahaja. Justeru, sebagai anak murid, seharusnya saya menghormati pendirian cikgu saya. Lagipun menurut Cikgu Yasalma, segala formula yang diciptanya memang 100% olahannya berdasarkan pengalamannya menjahit dan membuat baju sejak berumur 6 tahun dan asasnya langsung tidak menggunakan mencedok kaedah kebiasaan yang digunakan oleh kolej-kolej atau pusat kemahiran jahitan di mana-mana pun. Kaedah Cikgu Yasalma pun dia telah dicopyright seperti berikut :
"PERHATIAN:
Segala aspek berkenaan karya ini termasuk reka bentuk dan hakciptanya telah didaftarkan dan dilindungi di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 dan Akta Hakcipta 1987.
Semua pengeluaran semula dalam apa jua bentuk dalam apa jua bahan menggunakan apa jua kaedah tanpa kebenaran YASALMA adalah salah disisi undang-undang dan haram di sisi syariat Islam.
"REZEKI YANG HALAL MENJEMPUT KEBERKATAN DAN KETENANGAN HIDUP".
Itulah pesan Cikgu Yasalma. Tapi ada juga desas-desus yang kata Cikgu saya kedekut tak nak kongsi ilmu, sebab itu dia copyrightkan nota? Ada juga kata, inikan ilmu yang bermanfaat, kalau disebarkan percuma kan dapat pahala besar?
Berkenan dengan hasil kerja saya? Boleh lihat entri koleksi terbaru Princess Cut Dress dan Princess Palazo saya yang akan datang di blog SARA Shopstyle.
No comments:
Post a Comment