Thursday 22 May 2014

Kisah dan Panduan Membeli Rumah CSRU

Teks : Nor Azua Ruslan


Alhamdulillah sekali lagi, di pagi Jumaat penuh barakah 16 Mei 2014 yang lepas, Allah telah makbulkan satu lagi daripada deretan impian saya tahun ini untuk memilik rumah. hari yang penuh rahmah tersebut saya menerima berita akhirnya pinjaman perumahan saya diluluskan. Syukur, Alhamdulillah setelah pelbagai rintangan kami tempuhi, akhirnya Allah makbulkan juga hasrat hambanya. Terima kasih Ya Allah.

Rumah ini memang impian kami suami isteri sejak pulang ke tanah air. Asalnya ibu mertua yang bawa kami pusing-pusing di taman perumahan di Presint Diplomatik ini pada tahun 2011. Waktu itu kami pulang bercuti beraya di Malaysia. Kami terus jatuh hati dengan rumah berkembar yang mempunyai rekabentuk fasad berlainan dan pelbagai skim warna di kawasan kediaman ini. Justeru, kami memasang angan-angan untuk memiliki salah satu rumah di sini. Kawasan perumahan ini dibangunkan oleh SP Setia, asalnya merupakan kuarters untuk penjawat awam. Walaubagaimanpun, ianya dibuka untuk jualan kepada orang awam dan 30% darpadanya diperuntukkan untuk jualan kepada penjawat awam dengan diskaun sebanyak 25%. Urusan jual beli adalah melalui Urusetia Jawatankuasa Kerja Tanah (UJKT), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang beroperasi di Aras 1, Menara Sri Wilayah.

Sistem Merit
Saya pernah menyatakan hasrat untuk membeli rumah ini pada Tahun 2012 setelah pulang ke tanah air. Walaubagaimanapun, disebabkan sistem merit yang digunapakai waktu itu, permohonan saya tidak layak dipertimbangkan kerana saya masih baru berkhidmat dengan kerajaan. Saya sedikit kecewa waktu itu kerana petugas di kaunter UJKT menyatakan ;

'' Oh! Puan baru lagi kan dalam perkhidmatan awam. Dalam senarai menunggu kami semuanya bos-bos besar, professor, datuk-datuk dan Tan Sri. Saya rasa peluang puan agak tipis''

Hati saya agak terluka. Tetapi, saya tidak pernah putus asa. Saya sentiasa sebut-sebut berkenaan rumah ini dengan ibu saya dan teman rapat saya. Saya bawa mereka jalan-jalan ke sini, dan saya terus-terusan bercerita betapa saya mengagumi dan mengimpikan rumah di sana.

Sistem Terbuka
Tahun 2013, jabatan saya menerima email hebahan tawaran pembelian rumah CSRU bagi projek Tamara Residence di Presint 8. Rekabentuknya menaraik. Namun yang palin menarik ialah lokasinya yang berhadapan Masjid Besi (Masjid Sultan Mizan) dan menghadap tasik. Lokasi di mana pelbagai acara tahunan diadakan seperti Pesta Floria, Hot Balloon Air dan macam-macam lagi. Saya teruja dan terus ke pejabat UJKT. Sambil-sambil itu saya bertanya khabar juga tentang penjualan rumah impian saya tadi. Kata petugas kaunter:

'' Hanya ada sebuah sahaja lagi yang belum terjual puan. Tapi senarai menunggu kita terlalu ramai. Kali ni kita tiada sistem merit lagi. Mana-mana penjawat awam tak kira pangkat dan tempoh servis boleh kemuka permohonan. Saya tak yakin puan akan dapat, melainkan pinjaman perumahan mereka tidak diluluskan. Saya nasihatkan puan mohon Tamara Residence, saya yakin puan akan dapat sebab bilangan unit di Tamara Residense masih banyak.''

Entah mengapa saya rasa degil betul waktu itu, suami juga berpendapat sama . Saya nekad juga mengisi borang hasrat untuk membeli rumah idaman tersebut yang hanya tinggal satu unit sahaja. Saya ambil risikonya. Jika saya tidak berjaya dapatkan rumah idaman, saya akan terlepas peluang membeli Tamara Residence.  Beberapa bulan selepas itu, saya dihubungi UJKT menyatakan surat tawaran pembelian rumah idaman saya telah dikeluarkan dan boleh diambil di pejabat mereka. Alhamdulliah, syukur Ya Allah.

Imej : Alhamdulliah, rumah idaman jadi kenyataan


Pihak UJKT memberi tempoh 2 minggu untuk membuat bayaran muka 10%. Setelah bayaran muka selesai barulah saya berpeluang melihat keadaan rumah ini. Ini pula risiko kedua yang saya ambil. Bukan senang nak beli rumah di Putrajaya. Harga rumah di sini sangat mahal, overspeculated due it's prestigious adress. Maka, saya serahkan bulat-bulat kepada Allah semoga setiap keputusan yang saya buat adalah betul. Proses seterusnya ialah berurusan dengan peguam untuk penyediaan dokumen S&P pula. Mudah-mudahan Allah permudahkan semuanya.

Ingin saya kongsikan sedikit panduan bagi penjawat awam yang ingin memiliki rumah di Putrajaya di bawah skim CSRU ini.

10 Panduan Membeli Rumah CSRU di Putrajaya:
1. Baca Pekeliling : Syarat-syarat dan Kelayakan
2. Isi Borang CSRU- Print dan isikan borang di link ini.
3. Nyatakan jenis kediaman pilihan anda.
4. Sediakan dokumen-dokumen seperti yang diminta di dalam borang
5. Sediakan wang RM100 untuk bayaran pendaftaran seumur hidup
6. Buat pembayaran di Pejabat Kewangan, Tingkat 3, Menara Sri Wilayah
7. Serahkan Borang CSRU dan resit bayaran di Pejabat UJKT, Tingkat 1, Menara Sri Wilayah
8. Sentiasa alert tentang projek-projek pembangunan kediaman di Putrajaya yang sedang berjalan atau akan datang.
9. Isi Borang Hasrat di Pejabat UJKT untuk membeli rumah di projek tersebut, nyatakan jenis kediaman dan bajet anda. 
10. Jika anda terlepas peluang, sentiasa kemaskini jenis kediaman pilihan dan isi borang hasrat yang baru.

Semoga bermanfaat
Jazakallah

No comments:

Post a Comment