Wednesday 18 June 2014

Kehilangan

Teks : Nor Azua Ruslan


Hari ini saya kehilangan seorang sahabat. Berita pemergiannya malam tadi sungguh mengejutkan, bila saya hanya menerima berita tersebut pagi tadi. Beliau yang saya kenali sangat sopan dan lembut tutur katanya. Suka merendah diri dan seorang yang sentiasa tersenyum di saat suka mahupun duka.

Saya kenali beliau sewaktu sama-sama menjalani Practical Training di firma arkitek, T.R. Hamzah & Yeang di Ampang (TRHY) . Beliau dari Universiti Islam Antarabangsa manakala saya dari Universiti Sains Malaysia. Di TRHY kami bertemu. Setelah masing-masing menamatkan pengajian, kami kembali semula untuk membina karier sebagai Arkitek di TRHY. Beliau saya panggil dengan panggilan mesra Kak Sue. Kami selalu bekerja sepasukan. Kami pernah masuk pertandingan rekabentuk rumah untuk pemaju Island & Peninsular Berhad  bersama-sama. Kami pernah habiskan masa di ofis sehingga lewat malam dan ke kilang model maker di saat-saat akhir. Pengalaman kami selalu bekerja dalam satu pasukan memang menyeronokkan. Kami membesar di TRHY. Kami mengikuti perkembangan masing-masing. Dari bertunang hingga ke pelamin.

Kak Sue yang saya kenali seorang yang berani, yakin dan punya pendirian. Di sebalik karakternya yang lembut, dia sebenarnya tegas dan sangat bercita-cita tinggi. Tahun 2007 Kak Sue mohon Working Holiday Visa untuk meninggalkan tanah air dan berhijrah ke Manchester, UK.  Saya tahu, Kak Sue memang seorang yang berani kerana Kak Sue tinggalkan semua yang dia ada untuk merantau ke UK. Tahun 2008 saya pula ikut jejak Kak Sue ke UK. Tetapi, saya ke sana untuk menyambung pelajaran.

Kak Sue sentiasa saya hubungi. Sampai Manchester, saya terus ke rumah Kak Sue di Salford keesokan paginya. Saya sendiri jadi berani, naik bas seorang diri dengan hanya berpandukan arah melalui Kak Sue yang memberi panduan hanya melalui corong telefon. Kami berjumpa lagi di bumi Manchester, UK. Waktu itu, Kak Sue punya seorang cahaya mata yang sangat comel. Benjamin Ezry namanya. Teman bermain saya waktu itu. Saya amat suka melayan Ben dan bergurau dengannya. Kami buat keputusan untuk mencari rumah dan tinggal bersama-sama. Alhamdulillah, syukur pencarian kami tidak lama dan rezeki kami terus dapat rumah di Rusholme. Rumahnya besar dan elok. Lokasi pula strategik ; berdekatan universiti dan sumber makanan halal.



Ka Sue orang pertama ajar saya naik First Bus di Manchester, Kak Sue orang pertama bawa saya jalan di Manchester Arndale, Kak Sue ajar saya jalan kaki ke car boot di Salford City. Pertama kali saya beli lampu meja (table lamp) dengan harga 1 Pound Sterling. Kak Sue ketawa lihat saya yang sangat teruja ke car boot waktu itu. Kak sue ajar saya cara berjimat cermat. Kak Sue buat tabung dapur. Kak Sue ajar potong ayam 12 bahagian dan bungkus siap-siap 4 bahagian dalam bungkusan kecil-kecil supaya menjamin kesegaran ayam tadi. Kak Sue ajar saya cara masak ringkas tapi sedap. Kegemaran saya ialah kurma dan salad mayo. Kak Sue ajar DIY nasi impit sendiri tanpa beli nasi impit segera. Kak Sue masak hidangan hari raya. Kak Sue dan keluarga menjadi keluarga saya semasa kali pertama sambut raya di perantauan. Saya jauh dari suami dan keluarga. Maka, Kak Sue adalah tempat saya mengadu bila ada masalah untuk menyesuaikan diri atau masalah tugasan di uni. Kak Sue pandai masak, pandai menjahit. Kak Sue suka warna merah, Kak Sue suka tudung bawal. Kak Sue suka pakai baju kurung dan kaftan. Kak Sue suka hidang pencuci mulut lepas makan. Ice cream 2 scoop dengan 2 slice buah peach. Oh, Kak Sue juga suka Terry's Chocolate Orange bila pertama kali diperkenalkan oleh rakan uni saya, Aimi dan Liyana. Bila Kak Sue balik Malaysia, hidup saya agak huru-hara dan kelam kabut seorang diri sementara menunggu suami saya datang dari Malaysia. Baru saya tahu selama ini Kak Sue manjakan saya.

Kak Sue mengajar saya surviving skills di UK. Kak Sue ajar saya jadi berani dan yakin. Kak Sue sabar layan karenah saya. Kak Sue tak pernah jemu bagi dorongan kepada saya. 




Nak cari kerja, nak recommendation letter, saya cari Kak Sue, nak tanya pasal gaji Arkitek saya tanya Kak Sue, nak pergi TRHY saya telefon Kak Sue dulu, nak surat sokongan Ken Yeang, saya tanya Kak Sue. Nak tulis dissertation pun, tulis pasal Kak Sue.


Ya Allah, banyak sudah jasa Kak Sue pada saya. Semoga Allah membalas segala budi baikmu Kak Sue dengan ganjaran Jannah. 

Kali terakhir saya berjumpa Kak Sue sewaktu pulang dari Zoo Negara April lepas. Saya telefon Kak Sue nak singgah pejabat TRHY. Dia begitu gembira dengan kehadiran saya. Kami berbual dan Kak Sue bertanya bila lagi saya mahu tambah cahaya mata. 

Kehadiran Kak Sue dalam hidup saya cuma sebentar tapi terlalu banyak memori yang kami lalui. Saya masih terkesan dengan kehilangan Kak Sue. Semua memori bersama Kak Sue berlegar-legar dalam kepala saya. Justeru, saya luahkan dalam penulisan di sini. Saya terbayang wajah anak-anak kecil Kak Sue, iaitu Ben dan Yasmin dan pastinya Abg Wan, suami Kak Sue sangat terkesan dengan kehilangan ini. Ya Allah, pelihara mereka Ya Allah dan permudahkan semua urusan keluarga Kak Sue.

Terima kasih Kak Sue atas persahabatan ini. Wawa akan simpan kenangan bersama Kak Sue sampai bila-bila. Semoga Allah merahmatimu di sana.

Saya sedang bersiap untuk ke majlis pengebumian Kak Sue. Semoga ada rezeki saya untuk menatap wahahnya buat kali terakhir.

Amin Ya Rabb

1 comment: