Showing posts with label 1.0 DIARI PENULIS. Show all posts
Showing posts with label 1.0 DIARI PENULIS. Show all posts

Saturday, 11 April 2020

Selamat Datang

Teks : Nor Azua Ruslan




Sumber Imej : Google

Blog ini diwujudkan bagi tujuan berkongsi minat, pengalaman dan pengetahuan tentang rekabentuk untuk dijadikan panduan buat pembaca sekalian. Saya meminati bidang senibina & dekorasi serta fesyen & jahitan. Justeru, saya mahu berkongsi minat ini supaya dapat dimanfaatkan oleh pembaca semua. Saya akan memfokuskan kepada panduan rekabentuk perabot serta perkongsian projek dekorasi dan jahitan dress kanak-kanak. Saya percaya semua wanita berbakat dan sangat mahir dalam multi-tasking. 


Semoga bermanfaat.


NOR AZUA RUSLAN

Penulis,
[ blog Panduan Rekabentuk : Dekorasi & Jahitan ]
[ blog SARA Shopstyle ]

Pengasas,
[ SARA Shopstyle ]

Penulis bersama, 
[ blog Panduan Perancangan Kewangan ]

Wednesday, 16 July 2014

Ramadhan Mubarak

Teks : Nor Azua Ruslan




Mabruk sahabat-sahabat pembaca yang saya kasihi sekalian. Sudah lama nampaknya saya tidak menulis. Sudah pertengahan Bulan Ramadahan pula tu. Harapnya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa tahun ini ya kawan-kawan semua. InsyaAllah saya akan kembali menulis. 

Bukan apa, sejak entri terakhir saya yang lepas, saya bercuti dengan keluarga. Sekembali dari percutian tersebut, saya kurang sihat, hilang selera makan, sering loya, mual dan mengalami pedih ulu hati tidak kira masa. Alhamdulillah Allah beri saya rezeki pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Berbeza dengan pengalaman mengandungkan puteri saya dahulu, sindrom nausea ini hanya menyerang waktu malam, kali ini dia datang tak kira masa pula. Semoga saya kuat mengharungi bulan mulia ini. Sudah beberapa hari terpaksa berbuka kerana loya dan pedih ulu hati yang agak teruk. Kekadang saya agak stressDoakan kesihatan saya ya sahabat semua. 


Jazakallah.

Wednesday, 18 June 2014

Kehilangan

Teks : Nor Azua Ruslan


Hari ini saya kehilangan seorang sahabat. Berita pemergiannya malam tadi sungguh mengejutkan, bila saya hanya menerima berita tersebut pagi tadi. Beliau yang saya kenali sangat sopan dan lembut tutur katanya. Suka merendah diri dan seorang yang sentiasa tersenyum di saat suka mahupun duka.

Saya kenali beliau sewaktu sama-sama menjalani Practical Training di firma arkitek, T.R. Hamzah & Yeang di Ampang (TRHY) . Beliau dari Universiti Islam Antarabangsa manakala saya dari Universiti Sains Malaysia. Di TRHY kami bertemu. Setelah masing-masing menamatkan pengajian, kami kembali semula untuk membina karier sebagai Arkitek di TRHY. Beliau saya panggil dengan panggilan mesra Kak Sue. Kami selalu bekerja sepasukan. Kami pernah masuk pertandingan rekabentuk rumah untuk pemaju Island & Peninsular Berhad  bersama-sama. Kami pernah habiskan masa di ofis sehingga lewat malam dan ke kilang model maker di saat-saat akhir. Pengalaman kami selalu bekerja dalam satu pasukan memang menyeronokkan. Kami membesar di TRHY. Kami mengikuti perkembangan masing-masing. Dari bertunang hingga ke pelamin.

Kak Sue yang saya kenali seorang yang berani, yakin dan punya pendirian. Di sebalik karakternya yang lembut, dia sebenarnya tegas dan sangat bercita-cita tinggi. Tahun 2007 Kak Sue mohon Working Holiday Visa untuk meninggalkan tanah air dan berhijrah ke Manchester, UK.  Saya tahu, Kak Sue memang seorang yang berani kerana Kak Sue tinggalkan semua yang dia ada untuk merantau ke UK. Tahun 2008 saya pula ikut jejak Kak Sue ke UK. Tetapi, saya ke sana untuk menyambung pelajaran.

Kak Sue sentiasa saya hubungi. Sampai Manchester, saya terus ke rumah Kak Sue di Salford keesokan paginya. Saya sendiri jadi berani, naik bas seorang diri dengan hanya berpandukan arah melalui Kak Sue yang memberi panduan hanya melalui corong telefon. Kami berjumpa lagi di bumi Manchester, UK. Waktu itu, Kak Sue punya seorang cahaya mata yang sangat comel. Benjamin Ezry namanya. Teman bermain saya waktu itu. Saya amat suka melayan Ben dan bergurau dengannya. Kami buat keputusan untuk mencari rumah dan tinggal bersama-sama. Alhamdulillah, syukur pencarian kami tidak lama dan rezeki kami terus dapat rumah di Rusholme. Rumahnya besar dan elok. Lokasi pula strategik ; berdekatan universiti dan sumber makanan halal.



Ka Sue orang pertama ajar saya naik First Bus di Manchester, Kak Sue orang pertama bawa saya jalan di Manchester Arndale, Kak Sue ajar saya jalan kaki ke car boot di Salford City. Pertama kali saya beli lampu meja (table lamp) dengan harga 1 Pound Sterling. Kak Sue ketawa lihat saya yang sangat teruja ke car boot waktu itu. Kak sue ajar saya cara berjimat cermat. Kak Sue buat tabung dapur. Kak Sue ajar potong ayam 12 bahagian dan bungkus siap-siap 4 bahagian dalam bungkusan kecil-kecil supaya menjamin kesegaran ayam tadi. Kak Sue ajar saya cara masak ringkas tapi sedap. Kegemaran saya ialah kurma dan salad mayo. Kak Sue ajar DIY nasi impit sendiri tanpa beli nasi impit segera. Kak Sue masak hidangan hari raya. Kak Sue dan keluarga menjadi keluarga saya semasa kali pertama sambut raya di perantauan. Saya jauh dari suami dan keluarga. Maka, Kak Sue adalah tempat saya mengadu bila ada masalah untuk menyesuaikan diri atau masalah tugasan di uni. Kak Sue pandai masak, pandai menjahit. Kak Sue suka warna merah, Kak Sue suka tudung bawal. Kak Sue suka pakai baju kurung dan kaftan. Kak Sue suka hidang pencuci mulut lepas makan. Ice cream 2 scoop dengan 2 slice buah peach. Oh, Kak Sue juga suka Terry's Chocolate Orange bila pertama kali diperkenalkan oleh rakan uni saya, Aimi dan Liyana. Bila Kak Sue balik Malaysia, hidup saya agak huru-hara dan kelam kabut seorang diri sementara menunggu suami saya datang dari Malaysia. Baru saya tahu selama ini Kak Sue manjakan saya.

Kak Sue mengajar saya surviving skills di UK. Kak Sue ajar saya jadi berani dan yakin. Kak Sue sabar layan karenah saya. Kak Sue tak pernah jemu bagi dorongan kepada saya. 




Nak cari kerja, nak recommendation letter, saya cari Kak Sue, nak tanya pasal gaji Arkitek saya tanya Kak Sue, nak pergi TRHY saya telefon Kak Sue dulu, nak surat sokongan Ken Yeang, saya tanya Kak Sue. Nak tulis dissertation pun, tulis pasal Kak Sue.


Ya Allah, banyak sudah jasa Kak Sue pada saya. Semoga Allah membalas segala budi baikmu Kak Sue dengan ganjaran Jannah. 

Kali terakhir saya berjumpa Kak Sue sewaktu pulang dari Zoo Negara April lepas. Saya telefon Kak Sue nak singgah pejabat TRHY. Dia begitu gembira dengan kehadiran saya. Kami berbual dan Kak Sue bertanya bila lagi saya mahu tambah cahaya mata. 

Kehadiran Kak Sue dalam hidup saya cuma sebentar tapi terlalu banyak memori yang kami lalui. Saya masih terkesan dengan kehilangan Kak Sue. Semua memori bersama Kak Sue berlegar-legar dalam kepala saya. Justeru, saya luahkan dalam penulisan di sini. Saya terbayang wajah anak-anak kecil Kak Sue, iaitu Ben dan Yasmin dan pastinya Abg Wan, suami Kak Sue sangat terkesan dengan kehilangan ini. Ya Allah, pelihara mereka Ya Allah dan permudahkan semua urusan keluarga Kak Sue.

Terima kasih Kak Sue atas persahabatan ini. Wawa akan simpan kenangan bersama Kak Sue sampai bila-bila. Semoga Allah merahmatimu di sana.

Saya sedang bersiap untuk ke majlis pengebumian Kak Sue. Semoga ada rezeki saya untuk menatap wahahnya buat kali terakhir.

Amin Ya Rabb

Friday, 6 June 2014

Kisah Pindah Rumah dan Kenangan

Teks : Nor Azua Ruslan


Hari ni genap 23 bulan usia cik sarah. Sebulan lagi hari lahir Sarah. Gambar dia atas diambil ketika berpindah dari rumah lama kami di Saujana Aster Condominium. Garland tersebut adalah item terakhir yang ummy sarah buang semasa proses mengemas dan berpindah rumah. Sedih juga mengingat kembali kenangan semasa tinggal di rumah ini. Sengaja ummy dan abah pindah ke sini sebaik pulang ke Malaysia untuk keselesaan cik sarah yang bakal lahir waktu itu. Ummy teruja menunggu kelahiran Sarah. Ummy hias sehabis baik nursery Sarah.





06 Julai 2012 Sarah melihat dunia. Di bawah pokok berdekatan swimming pool abah tanam uri Sarah. Di swimming pool ini juga Sarah mula belajar berenang. Dan di swimming pool ini juga Sarah dapat chest infection dan dimasukkan ke hospital. Di sini juga ummy dan abah lihat sarah membesar, mula berpusing, merangkak, berdiri dan berjalan. Di sini kenangan ummy dan abah bersama sarah yang akan kami kenang sampai bila-bila.


Tahun ini kita sambut hari jadi di rumah baru ya sayang?

Salam sayang,
Ummy Sarah.

Monday, 26 May 2014

Kesan Penyakit Hati Kepada Orang Sekeliling

Teks : Nor Azua Ruslan


Sumber : Google

"Don’t mix bad words with your bad mood. You will have many opportunities to change a mood, but you will never get the opportunity to replace the words you spoke."

Sumber : http://everydaylifelessons.com


Kalian tentunya pernah ada pengalaman berdepan atau berhubung secara langsung atau tidak langsung dengan orang yang panas baran bukan? Tentunya ia merupakan pengalaman pahit yang anda lalui. Lebih trauma lagi bila individu tersebut bukan sahaja panas baran, malah kata-katanya juga tidak sedap didengari khalwa telinga. Tambah menjengkelkan, sudahlah panas baran, angkuh , sombong dan bongkak pula. Jika individu terbabit hanyalah orang asing / stranger kepada anda, maka beruntunglah. MUNGKIN anda lebih mudah memaafkan dan melupakan individu panas baran tadi dengan harapan tidak akan bertemu lagi individu tersebut di masa hadapan.

Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana agaknya nasib orang-orang di sekeliling individu tersebut, terutamanya ahli keluarga atau pasangannya? Kasihan bukan? Apalah agaknya nasib mereka terpaksa berdepan dengan orang sebegini. Tentunya hidup sentiasa gundah gulana sekiranya mereka sukar nak menerima dan memaafkan keadaan si panas baran tersebut.

Panas baran ini ialah salah satu penyakit hati. Sayangnya, orang panas baran ini tidak tahu pun yang mereka sebenarnya berpenyakit. Penyakit ini bukan sahaja memudaratkan individu yang panas baran sahaja, malah tempiasnya turut dirasakan oleh orang sekeliling.

Definisi Panas Baran
''Panas baran @ ‘ kepala angin ‘ @ ‘ naik hantu ‘ yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah menyebabkan seseorang itu hilang malu, sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja. Islam sendiri memuji umatnya yang dapat mengawal perasaan marah. Sikap marah adalah antara pintu syaitan datang masuk ke hati manusia.''

Sumber : Khamsiah Mohd Etli, agc.gov.my

Mari kita lihat 6 kesan panas baran terhadap orang sekeliling dan kesan individu kepada si panas baran, buat pengajaran dan iktibar kepada kita semua:

1. Dendam 
Apabila orang yang panas baran tidak mengawal tutur katanya, maka orang yang mendengar akan cenderung berasa sakit hati dan mungkin akan berdendam. Ini berlaku apabila si panas baran tadi suka menggunaka ayat-ayat berbaur ugutan seperti ugutan hendak memukul, menendang atau membunuh. Sifat dendam si pendengar ini mungkin boleh mengakibatkan balas-membalas dendam dan lebih berisiko untuk terlibat dengan pergaduhan apabila orang yang menerima tempias tadi adalah si panas baran juga. Ibarat buku bertemu ruas. Kesan kepada individu yang panas baran adalah risiko permusuhan. Sudahlah berpenyakit, ramai pula musuh yang tunggu masa sahaja nak nak terkam si panas baran ini.

2. Menjauhkan Diri 
Secara amnya, tiada siapa suka berususan dengan individu yang panas baran. Kebanyakan orang tidak mahu mengambil risiko terbabit di dalam konflik dengan si panas baran. Maka, jalan penyelesaian mudah adalah dengan menjauhkan diri daripada mereka yang panas baran. Kesan individu kepada si panas baran ini adalah risiko dipulau dan disisihkan. Sayang bukan, kalau sahabat baik atau orang yang tersayang mula menjauhkan diri daripada anda? Ingatlah mayat kita nanti bukan bergolek sendiri ke dalam kubur. Kita perlukan bantuan ahli keluarga / pasangan / sahabat handai juga akhirnya.

3. Hilang Hormat 
Apabila individu panas baran tidak mengawal tutur kata apabila berbicara dan cenderung menyinggung perasaan orang sekeliling, risikonya adalah orang sekeliling akan hilang rasa hormat kepada si panas baran tadi. Mana taknya, meskipun si panas baran berpangkat tinggi atau mungkin individu berharta, dengan perangai panas baran sahaja boleh menyebabkan maruah dan reputasinya jatuh. Kesan kepada individu panas baran ialah risiko kehilangan kerja, kehilangan teman rapat dan mungkinpeluan bisnes.


4. Hilang Kepercayaan
Jika dibiar berlarutan, orang sekeliling akan jemu dengan ucapan maaf si panas baran tadi dan hilang kepercayaan terhadapnya. Mungkin si panas baran tadi akan meminta maaf sejurus selepas sedar akan kekhilafannya, namun emosi yang sudah kerap tercalar akibat barnnya tadi mungkin tidak akan pulih serta merta. Mungkin sekali dua tidak mengapa? Namun jika ia berlarutan dan kerap kali berlaku bagaimana? Sifat pemaaf itu dituntut di dalam Islam, namun akan menimbulkan rasa yakin kepada si panas baran orang akan sentiasa memaafkan kekhilafannya. Kesannya? Sampai bila pun si panas baran tadi tidak berubah. 



It is easy to say sorry for the things we’ve done, it is also easy to forgive and forget, but one thing that will never be easy is to trust again after disappointment. 
Sumber : http://everydaylifelessons.com

5. Tekanan Perasaan
Berurusan dengan individu panas baran adalah suatu proses yang amat memenatkan jika kita tidak ada daya tahan mental dan emosi yang kuat. Kebanyakan kes ahli keluarga /  pasangan kepada si panas baran cenderung mengalami tekanan perasaan dek kerana terpaksa bersabar dengan karenah si panas baran tadi. Terpaksa berpura-pura kuat sedangkan dalamannya makin hari makin parah kerana parut yang sama baru nak pulih, terguris lagi. Lama-kelamaan ahli keluarga atau pasangan menjadi jemu dan bosan dengan si panas baran. Layanan dan komunikasi pun sudah tidak mesra dan cenderung untuk berpisah atau cubaan lari. Lama-kelamaan pasangan menjadi tertekan dan mengundang kepada maslah lain contohnya cubaan membunuh diri atau kesan jangka panjang mengalami gangguan mental. Kesan individu kepada si panas baran pula ialah bila ahli keluarga / pasangannya  menjadi jemu dan bosan adalah risiko untuk si panas baran menjadi lebih panas baran kerana tidak mendapat sokongan daripada ahli keluarga / pasangan. Lumrah manusia, kesabaran yang diuji kadang tidak dijangka. Ada orang yang tabah, sabarnya menggunung tinggi. Namun bagaimana pula kalau benteng sabar itu makin lama makin terhakis? Anda renungkan sendiri.


Saying sorry doesn’t mean you have to do the same wrong thing again!


Sumber : http://everydaylifelessons.com


Sumber : Google

6. Perceraian
Susulan kepada kesan no.5 di atas, jika masalah kesihatan si panas baran tadi tidak dirawat dengan segera atau si panas baran tidak mengambil inisiatif yang sewajarnya untuk berubah, kemungkinan besar pasangannya cenderung untuk mengambil jalan penyelesaian terakhir untuk berpisah sahaja. Ini kerana tentunya jika ketahanan emosi pasangan tidak kuat, akan selalu terjadi pertengkaran dan perbalahan yang mengakibatkan rumah tangga goyah. Apabila pasanagan sudah tidak tahan dengan situasi rumah tangga yang sentiasa berantakan, emosi yang selalu tercalar dan tekanan perasaan, jalan perceraian akan dipilih sebagai jalan terakhir. Banyak kes perceraian dilaporkan di mahkamah syariah adalah berpunca daripada sudah tidak tahan dengan pasangan yang panas baran. Akibatnya si panas baran ditinggal dan masalah panas barannya, dia sahajalah yang selesaikan seorang diri, tiada lagi pasangan hidup. Sayangkan jika tidak manfaatkan peranan pasangan hidup kita? Ini tidak, pasangan hidup pula dijadikan 'punching bag'.


I have learned that sometimes SORRY is not enough. You actually have to change yourself. 
Sumber : http://everydaylifelessons.com


7. Kecederaan / Kematian

Apabila si panas baran bertindak melulu, mungkin akan ada insiden di luar jangkaan kita. Perasaan marah adalah pintu masuk kepada syaitan. Apabila bisikan syaitan menguasai, mulalah berlaku kes-kes yang akhirnya mengakibatkan kemalangan, kecederaan atau pembunuhan. Nauzubillah min zalik. Semoga kita semua terpelihara daripada bisikan syaitan yang direjam.
Sumber : Google


Sumber : Google







Semoga bermanfaat
Jazakallah
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Baca lanjut tentang sifat panas baran berikut:

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan tiga langkah mengatasi rasa marah.
Pertama – Mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah posisi (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk), mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran.
Adakah sikap panas baran ini berpunca daripada tahap perkembangan didikan daripada ibu- bapa di rumah?
Panas baran wujud disebabkan kegagalan seseorang itu mengawal emosinya ketika emosinya itu terganggu. Biasanya wujud faktor-faktor yang menjadi pencetus atau dipanggil pemicu (trigger) kepada timbulnya perasaan marah ini. Faktor yang menjadi penyebab perasaan marah itu berbeza-beza bagi setiap orang dan ia bergantung kepada faktor sekeliling , pengalaman dan sejarah seseorang itu dibesarkan. Keadaan sekitar dan rasa dikecewakan menyebabkan timbulnya perasaan marah yang mengakibatkan individu itu dikategorikan sebagai panas baran.
Adakah semua orang memiliki sifat panas baran?
Sifat pemarah adalah suatu emosi manusia normal. Namun ia bergantung kepada setiap individu yang menterjemahkan rasa marah masing-masing.
Adakah faktor jantina dan keturunan mempengaruhi?
Ada suatu pandangan yang menganggap faktor genetik iaitu baka keturunan turut mempengaruhi sifat mudah marah dan memberontak. Ada juga pandangan yang mengatakan panas baran dikaitkan dengan faktor perkembangan kanak-kanak dari kecil lagi seperti mudah resah dan marah. Mengenai faktor jantina, itu tidak pasti tetapi mungkin faktor budaya menjadikan lelaki lebih mudah meluahkan rasa marah.
Berikut adalah antara faktor yang menjadi punca timbulnya sikap panas baran itu .
  • Seseorang itu dibesarkan oleh ibu atau bapa yang kuat marah. Kesannya sikap marah ini dipelajari olehnya sejak kecil dan mula diwarisi.
  • Mengikut pengalamannnya, apabila dia marah maka dia memperolehi apa yang dihajatnya atau orang lain akan tunduk dan ikut kata-katanya. Ganjaran sebegini membuatkan minda bawah sedarnya percaya bahawa dengan panas baran maka matlamatnya boleh tercapai. Tanpa disedari ia menjadi satu habit yang sukar untuk di buang.
  • Panas baran adalah satu sikap mazmumah yang ada dalam diri dan merupakan pintu masuk syaitan. Apabila dituruti perasaan baran ini seseorang itu boleh menyesali setiap perkataan dan perbuatan yang dilakukannya ketika dibawah perasaan negatif ini.
  • Disebabkan oleh sifat ego yang terlalu tinggi dan merasakan bahawa dirinya sahaja yang betul berbanding dengan orang lain.
  • Apabila cakapnya tidak didengar atau nasihat tidak diendahkan, sedangkan padanya apa yang disampaikannya itu penting.
  • Apabila dirasakan haknya diambil, dirampas atau dicabul.
  • Apabila seseorang itu merasakan kuasa dan kedudukannya tidak dihormati dan setiap arahan yang diberikan tidak dipatuhi dan dilaksanakan.
  • Faktor usia yang muda juga ada kaitannya dengan panas baran. Usia yang muda juga biasanya bermakna kurang pengalaman hidup iaitu sukar membuat pertimbangan, kurang peka terhadap perasaan orang lain dan mudah ikut hati dan perasaan.
Yang dikatakan panas baran itu adalah apabila seseorang itu mudah rasa marah dan berulang kali pula melakukan perkara tersebut. Kadang kala perkara kecil juga boleh menimbulkan kemarahan pada kadar yang tidak sepatutnya. Tetapi sebaliknya jika marah itu berlaku sesekali dan bertempat, maka itu bukanlah dikatakan panas baran.
Adakah ia berkaitan dengan keturunan atau penyakit jiwa?
Kalau sekadar marah semua orang memilikinya dan pernah melaluinya. Tetapi kalau kadar kemarahan itu kerap dan terlalu mudah hilang kawalan, bermakna ia adalah masalah jiwa yang perlu dirawat. Ada juga berpunca dari kesan penderaan emosi sewaktu kecilnya lalu menjadi trauma. Pengalaman negatif ini tertanam dalam minda bawah sedar dan meletus apabila ada faktor yang seumpama dengan nya berlaku. Malah ada ketikanya sifat marah yang terpendam ini bertukar menjadi amuk.
Tidak dinafikan masyarakat Melayu terutamanya wujudnya saka. Saka adalah merujuk kepada jin yang diwarisi oleh sesuatu keturunan bermula dari nenek moyang kita dahulu hingga kini. Meski pun generasi hari ini tidak percaya akan wujudnya saka, namun realitinya perjanjian telahpun di buat antara nenek moyang mereka dengan mahluk halus ini mengikut perjanjian tertentu. Apabila perjanjian dimungkiri maka anak cuculah yang menjadi mangsa dan pelbagai masalah yang pelik berlaku. Ini boleh juga menjadi penyebab terdorongnya rasa baran yang melampau. Sebab itulah sejarah keluarga perlu dikaji dan kaedah terapi Al-Quran serta rawatan Islam perlu digunakan.
Tanda-tanda seseorang itu panas baran?
Tanda-tanda seseorang itu panas baran ialah apabila dia dengan mudah hilang kawalan sama ada melalui mimik muka, perkataan atau dengan tindakan. Ada ketikanya perkara yang dia hilang kawalan diri merupakan perkara yang kecil dijadikan besar dan kemarahan yang dilontarkan itu melampaui had maka itu tandanya seseorang itu ada sikap panas baran.
Kesan buruk panas baran?
Kemarahan yang tidak dapat dikawal bukan saja menyebabkan individu itu dijauhi orang sekeliling tetapi mereka sendiri terdedah dengan serangan darah tinggi dan migrain.
Langkah terbaik menangani sifat panas baran?
Kita boleh cuba memberikah sudut pandangan positif tanpa sesekali menimbulkan kemarahan. Buat individu panas baran sendiri, bawalah bertenang dan cuba mengawal perasaan marah daripada dalam diri dan tarik nafas dan cuba tenangkan diri perlahan-lahan. Kepada remaja yang mudah memberontak , perlulah belajar untuk menjadi masyarakat yang bertemadun – mengamalkan sikap bertolak ansur dan boleh hidup secara aman dan harmoni mewakili temadun itu sendiri.
Punca Panas baran – Perilaku agresif, Gejala Sosial, Emosi, Masalah kewangan/keluarga, Ego, Tekanan perasaan, Faktor didikan, Bebanan kerja, Faktor persekitaran.
10 Risiko Individu Panas Baran – Dipulaukan masyarakat sekeliling, Jiwa kosong (murung), Hilang pekerjaan/Jawatan, Penceraian, Kemalangan, Pergaduhan, Kesalahan jenayah, Melakukan penderaan, Tekanan perasaan, Penyakit kronik (darah tinggi, migrain).
Bagaimana tangani sikap panas baran?
Berikut ada beberapa tip untuk tangani sikap panas baran.
  • Panas baran datangnya dari api yang meluap-luap dari dalam. Oleh itu ambillah segelas air sejuk lalu minum.
  • Ambil wuduk dan jika berpeluang terus dirikan solat sunat dua rakaat. Ubah posisi atau kedudukan. Kalau kita sedang marah ketika berdiri maka duduklah. Kalau sedang duduk maka berdirilah. Perubahan posisi ini dapat membantu meredakan perasaan. Rasulullah SAW bersabda “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak , maka hendaklah ia berbaring” (Riwayat Muslim)
  • Beristighfar dan berselawat banyak-banyak.
  • Banyakkan membaca buku-buku motivasi .
  • Kenali diri sendiri dan ketahui faktor-faktor yang boleh menjadi pemicu kepada sikap panas baran itu. Cuba untuk berada dalam kawalan setiap kali faktor tersebut wujud.
  • Ingatkan diri sendiri bahawa apa yang dilakukan terhadap orang lain satu hari nanti akan berlaku ke atas diri kita sendiri pula. Ia adalah hukum Karma yang kita tidak dapat lari darinya.
  • Sedar apa yang ada dalam kawalan kita dan apa pula yang tidak. Jika sesuatu itu bukan dalam kawalan kita, maka marah tidak akan mengubah apa-apa. Sebaliknya ia sekadar membawa penat dan meningkatkan rasa stress yang diakhirnya memudaratkan diri sendiri.
  • Jika sikap panas baran itu sukar dikawal maka perlu temui Kunselor atau pakar psikatri sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
  • Sentiasa berfikiran positif dan katakan pada diri bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah dan kebaikannya. Fokus kepada hikmah. Misalnya, jika seseorang itu memotong barisan kenderaan dalam kesesakan trafik, kita katakan pada diri “Oh, orang itu mungkin tergesa-gesa mahu ke tandas” , atau, “Oh, mungkin anaknya sakit dan memerlukan dia sampai cepat dan satu hari aku pun mungkin terpaksa lakukan perkara yang sama jika sudah terpaksa”. Dengan cara ini kita telah berjaya alihkan fokus minda dari tertumpu kepada sesuatu yang boleh mencetuskan perasaan baran.
  • Tinggalkan tempat berlakunya kemarahan tersebut dan pergi ke tempat lain. Lagi lama kita berada disitu lagi tertekan rasanya hati. Ketika sudah berada jauh dari situ, tarik nafas dalam-dalam . Otak ketika marah kekurangan oksigen. Oleh itu pejamkan mata lalu tarik nafas perlahan-lahan dalam kiraan 7 dan rasakan udara sejuk masuk melalui hidung . Lepaskan nafas juga melalui hidung dalam kiraan 7. Rasakan udara panas yang melalui rongga hingga dihembus keluar. Katakan pada diri secara positif , “ Kini aku seorang yang sabar dan tenang serta mampu mengawal diri”.
  • Mereka yang panas baran perlu banyak riadah sebab badan yang cergas membantu akal untuk mengawal emosi.
  • Jaga pemakanan, elakkan dari banyak memakan daging merah. Sebaiknya lebihkan memakan sayur dan buah-buahan.
Apakah bentuk bantuan yang boleh masyarakat atau orang sekeliling berikan kepada seorang panasbaran?.
  • Jangan tambah lagi kemarahan seseorang itu hingga boleh membawa kemudaratan kepada dirinya atau orang sekeliling.
  • Faham faktor-faktor yang menjadi pemicu baginya dan cuba untuk tidak memulakannya.
  • Sabar dengan mereka yang panas baran , cuba bercakap dengannya dalam nada yang perlahan lagi lembut.
  • Ajar dia beristighfar dan menarik nafas dalam-dalam.
  • Berikan dia segelas air sejuk.
  • Usah berada disitu, biarkan dia sendiri buat sementera. Mungkin dia perlukan masa dan ruang untuk kembali rasional.
  • Wujudkan kumpulan sokongan yang membolehkan mereka yang mempunyai sikap panas baran ini berkumpul berbincang dan meluahkan isi hati. Ada ketikanya menyedari bahawa masalah ini bukan masalah kita seorang banyak membantu kita untuk menerima hakikat dan berusaha memperbaiki diri.
Kesimpulannya
Allah mencipta manusia ini sebagai sebaik-baik kejadian dan sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu setiap bentuk emosi yang dianugerahkan oleh Allah itu adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Begitulah juga dengan sikap marah. Jika seseorang itu marah kerana nafsu maka ia akan membawa kepada keburukan sebaliknya jika marahnya itu kerana Allah maka ia akan membawa kepada kebaikan dan kemuliaan. Hidup ini perlu banyak bersabar dan berlapang dada. Hanya dengan kesabaran sahajalah akan wujudnya kejayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.

Sumber : Khamsiah Mohd Etli, agc.gov.my

Thursday, 22 May 2014

Kisah dan Panduan Membeli Rumah CSRU

Teks : Nor Azua Ruslan


Alhamdulillah sekali lagi, di pagi Jumaat penuh barakah 16 Mei 2014 yang lepas, Allah telah makbulkan satu lagi daripada deretan impian saya tahun ini untuk memilik rumah. hari yang penuh rahmah tersebut saya menerima berita akhirnya pinjaman perumahan saya diluluskan. Syukur, Alhamdulillah setelah pelbagai rintangan kami tempuhi, akhirnya Allah makbulkan juga hasrat hambanya. Terima kasih Ya Allah.

Rumah ini memang impian kami suami isteri sejak pulang ke tanah air. Asalnya ibu mertua yang bawa kami pusing-pusing di taman perumahan di Presint Diplomatik ini pada tahun 2011. Waktu itu kami pulang bercuti beraya di Malaysia. Kami terus jatuh hati dengan rumah berkembar yang mempunyai rekabentuk fasad berlainan dan pelbagai skim warna di kawasan kediaman ini. Justeru, kami memasang angan-angan untuk memiliki salah satu rumah di sini. Kawasan perumahan ini dibangunkan oleh SP Setia, asalnya merupakan kuarters untuk penjawat awam. Walaubagaimanpun, ianya dibuka untuk jualan kepada orang awam dan 30% darpadanya diperuntukkan untuk jualan kepada penjawat awam dengan diskaun sebanyak 25%. Urusan jual beli adalah melalui Urusetia Jawatankuasa Kerja Tanah (UJKT), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang beroperasi di Aras 1, Menara Sri Wilayah.

Sistem Merit
Saya pernah menyatakan hasrat untuk membeli rumah ini pada Tahun 2012 setelah pulang ke tanah air. Walaubagaimanapun, disebabkan sistem merit yang digunapakai waktu itu, permohonan saya tidak layak dipertimbangkan kerana saya masih baru berkhidmat dengan kerajaan. Saya sedikit kecewa waktu itu kerana petugas di kaunter UJKT menyatakan ;

'' Oh! Puan baru lagi kan dalam perkhidmatan awam. Dalam senarai menunggu kami semuanya bos-bos besar, professor, datuk-datuk dan Tan Sri. Saya rasa peluang puan agak tipis''

Hati saya agak terluka. Tetapi, saya tidak pernah putus asa. Saya sentiasa sebut-sebut berkenaan rumah ini dengan ibu saya dan teman rapat saya. Saya bawa mereka jalan-jalan ke sini, dan saya terus-terusan bercerita betapa saya mengagumi dan mengimpikan rumah di sana.

Sistem Terbuka
Tahun 2013, jabatan saya menerima email hebahan tawaran pembelian rumah CSRU bagi projek Tamara Residence di Presint 8. Rekabentuknya menaraik. Namun yang palin menarik ialah lokasinya yang berhadapan Masjid Besi (Masjid Sultan Mizan) dan menghadap tasik. Lokasi di mana pelbagai acara tahunan diadakan seperti Pesta Floria, Hot Balloon Air dan macam-macam lagi. Saya teruja dan terus ke pejabat UJKT. Sambil-sambil itu saya bertanya khabar juga tentang penjualan rumah impian saya tadi. Kata petugas kaunter:

'' Hanya ada sebuah sahaja lagi yang belum terjual puan. Tapi senarai menunggu kita terlalu ramai. Kali ni kita tiada sistem merit lagi. Mana-mana penjawat awam tak kira pangkat dan tempoh servis boleh kemuka permohonan. Saya tak yakin puan akan dapat, melainkan pinjaman perumahan mereka tidak diluluskan. Saya nasihatkan puan mohon Tamara Residence, saya yakin puan akan dapat sebab bilangan unit di Tamara Residense masih banyak.''

Entah mengapa saya rasa degil betul waktu itu, suami juga berpendapat sama . Saya nekad juga mengisi borang hasrat untuk membeli rumah idaman tersebut yang hanya tinggal satu unit sahaja. Saya ambil risikonya. Jika saya tidak berjaya dapatkan rumah idaman, saya akan terlepas peluang membeli Tamara Residence.  Beberapa bulan selepas itu, saya dihubungi UJKT menyatakan surat tawaran pembelian rumah idaman saya telah dikeluarkan dan boleh diambil di pejabat mereka. Alhamdulliah, syukur Ya Allah.

Imej : Alhamdulliah, rumah idaman jadi kenyataan


Pihak UJKT memberi tempoh 2 minggu untuk membuat bayaran muka 10%. Setelah bayaran muka selesai barulah saya berpeluang melihat keadaan rumah ini. Ini pula risiko kedua yang saya ambil. Bukan senang nak beli rumah di Putrajaya. Harga rumah di sini sangat mahal, overspeculated due it's prestigious adress. Maka, saya serahkan bulat-bulat kepada Allah semoga setiap keputusan yang saya buat adalah betul. Proses seterusnya ialah berurusan dengan peguam untuk penyediaan dokumen S&P pula. Mudah-mudahan Allah permudahkan semuanya.

Ingin saya kongsikan sedikit panduan bagi penjawat awam yang ingin memiliki rumah di Putrajaya di bawah skim CSRU ini.

10 Panduan Membeli Rumah CSRU di Putrajaya:
1. Baca Pekeliling : Syarat-syarat dan Kelayakan
2. Isi Borang CSRU- Print dan isikan borang di link ini.
3. Nyatakan jenis kediaman pilihan anda.
4. Sediakan dokumen-dokumen seperti yang diminta di dalam borang
5. Sediakan wang RM100 untuk bayaran pendaftaran seumur hidup
6. Buat pembayaran di Pejabat Kewangan, Tingkat 3, Menara Sri Wilayah
7. Serahkan Borang CSRU dan resit bayaran di Pejabat UJKT, Tingkat 1, Menara Sri Wilayah
8. Sentiasa alert tentang projek-projek pembangunan kediaman di Putrajaya yang sedang berjalan atau akan datang.
9. Isi Borang Hasrat di Pejabat UJKT untuk membeli rumah di projek tersebut, nyatakan jenis kediaman dan bajet anda. 
10. Jika anda terlepas peluang, sentiasa kemaskini jenis kediaman pilihan dan isi borang hasrat yang baru.

Semoga bermanfaat
Jazakallah

Wednesday, 21 May 2014

Cerita Mini Cooper dan Impian Baru

Teks : Nor Azua Ruslan


Awal bulan Mei yang lalu, saya menghadiri satu majlis anjuran BMW Malaysia di Putarajaya, iaitu BMW Motorrad Day 2014. Majlis tersebut adalah sempena pelancaran model terkini motosikal berkuasa tinggi keluaran BMW. Oh! Saya bukalah peminat motosikal, kebetulan waktu itu saya dalam perjalanan hendak pulang dan melalui kawasan acara terbabit di belakang Palaca of Justice. Kami sekeluarga tertarik dan berhenti untuk melihat dengan lebih dekat. Apa yang menarik perhatian saya ialah booth yang mempamerkan kereta Mini Cooper S model terbaru. Aduhai, jatuh cinta dibuatnya. Bukan apa, saya memang memasang impian nak beli kereta yang kecil dan comel supaya senang saya nak parking kereta. Di tempat kerja saya memang terkenal dengan masalah parking yang tidak mencukupi. Pernah ada satu insiden kereta saya dilanggar oleh seseorang. Habis calar dan kemik, tetapi tiada siapa yang berani tampil dan mengaku. Hairannya, saya tahu orang itu satu jabatan dengan saya.

Baiklah, berbalik dengan cerita Mini Cooper S tadi, saya berkenan dan teringin pula nak pandu uji. Selesai isi borang dan ambil kunci, saya terpandang model Countryman pula. Alahai, yang ini pun memikat jiwa. Saiznya besar sedikit dari model S, ada 4 pintu dan sangat sesuai untuk keluarga bersaiz kecil seperti saya. Saiz ruang dalamannya seperti Myvi lama saya yang sudah selamat dijual untuk membeli rumah. Jadi kami sepakat pandu uji si Countryman ini. Eh, saya yang pandu uji, bukan suami saya. Kata suami, ''sayang yang berkenan, sayanglah cuba bawa''. Menurut salesman Mini Cooper ini , model Countryman ini dipasang di Malaysia, berbanding dengan model S yang memang sepenuhnya diimport dari luar.

Jujurnya, saya sangat suka saiznya yang compact dan kemasan dalaman kereta ini. Walaubagaimanapun, di sebalik harganya yang kurang mampu milik ini, saya rasa kurang berbaloi disebabkan aksesori yang datang bersama kereta ini kurang memuaskan. Paparan utama di tengah-tengahnya adalah skrin rpm yang terlalu besar dan menjadi 'centre of attraction'. Saya berpendapat lebih elok menjadi skrin i-drive yang lebih mesra pengguna atau papan skrin sesentuh pelbagai guna contohnya ; paparan koordinat GPS / maps, paparan kamera depan/belakang (mudah nak anggar semasa parking) atau paparan video dari internet atau USB. Saya berpendapat pengguna tidak perlukan skrin rpm yang terlalu besar sebegitu. Ini kereta-kereta compact model terbaru jenama lain kebanyakannya ada paparan skrin pelbagai guna ini. Mungkin BMW perlu buat penambahbaikan dari segi nilai yang diberikan kepada pengguna supaya berbaloi dengan harganya.



Imej :Bergambar kenangan bersama si Countryman

Saya tidak berhajat untuk membeli tetapi sekadar mencuba. Harganya boleh tahan RM2++K. Aduhai harganya lebih kurang 1/3 rumah kondominium / apartment semasa di Putrajaya. Lagipun, saya mahu fokus kepada pembelian rumah dahulu buat masa ini dan kereta saya sekarang masih berkeadaan baik walaupun saiznya menjadi sedikit halangan untuk saya bawa ke tempat kerja. Sudahnya suami hantar setiap pagi dan kereta ditinggalkan di rumah sebelum dia pula ke tempat kerja. Walaubagaimanpun, kalau diberi percuma, mestilah saya suka. Boleh bawa ke tempat kerja dan selit-selit parking kat mana-mana kerana saiznya kecil. Tak perlu lagi susahkan suami untuk hantar dan jemput saya. Kesian juga pada suami terpaksa bergegas pulang untuk jemput saya setiap hari. 



Maka, saya dengan gigihnya masuk peraduan anjuran Watson Malaysia yang menawarkan kereta Mini Cooper S ini. Penyertaan adalah dengan menjadi ahli Watson VIP atau dengan setiap pembelian RM80 dalam satu resit. Pembeian hendaklah barangan daripada jenama yang telah disenaraikan di dalam peraduan ini.  Peraduan bermula pada 24 April 2014 - 21 Mei 2014. Kalau ada rezeki, bolehla bawa pulang kereta ini dengan bantuan Watson.

Keahlian RM18.00. Saya teruja menjadi ahli semata-mata kerana cik Cooper.

Antara barangan yang dibeli di Watson. Promosi RM85/2 pek.
Setiap pek mengandungi 12 botol.
Uniknya pembelian 3 pek akan dapat percuma 1 pek lagi.
Tawaran sehingga 30 Jun 2014

Friday, 16 May 2014

Terima Kasihku Kepadamu Cikgu

Teks : Nor Azua Ruslan

[ Selamat Hari Guru 16 Mei 2014 ]



Entri khas ini saya tujukan terutama buat Ibu saya Norhizan Omar yang telah mendidik & membesarkan saya serta SEMUA GURU / MAJIKAN / RAKAN yang telah berjasa dan memerah keringat mengajar dan mendidik saya di institusi pendidikan dan akademi / bengkel seperti berikut:

  • Tadika Islam Seksyen 8, Shah Alam
  • SRK Seksyen 6 Shah Alam, 
  • SK Taman Selaseh Fasa 2
  • SMK Hillcrest
  • SM Sains Teluk Intan
  • Kolej Matrikulasi Melaka
  • Universiti Sains Malaysia, School of HBP
  • T.R. Hamzah & Yeang Sdn Bhd
  • Z&SR Architectural Ventures Sdn. Bhd.
  • University of Manchester, Manchester School of Architecture
  • Manchester Metropolitan University
  • PWD Malaysia
  • Bengkel Branding Nisa Nua
  • Akademi Bekerja Di Rumah
  • Yasalma Sewing School
Juga buat guru-guru yang mengasuh dan mendidik bidadari kecil saya, Nur Sarah Adriana Mohd Suhelmy di:
  • Taska Cahaya Cerdik Pintar, Presint 9, Putrajaya
  • Playgroup Excel Khalif

Terima kasih yang tidak terhingga dan saya sayang kalian semua. Semoga Allah memberkati segala usaha kalian dalam mendidik kami menjadi khalifah yang berguna di bumi Allah ini.


Salam sayang,
Nor Azua Ruslan

Penulis,

Pengasas,

Pengurus Online,
[ Akademi Bekerja Di Rumah ]