Wednesday 23 April 2014

Tiada Istilah Kebetulan

Teks : Nor Azua Ruslan

Senibina   :  Pakaian
Dekorasi :  Jahitan

Kadang-kadang saya tertanya-tanya kenapa saya minat sangat dengan jahitan / pakaian sedangkan kepakaran saya adalah dalam bidang senibina / bangunan. Kalau diikutkan, dekorasi masih lagi dalam susur galur senibina, tetapi jahitan? Susulan Bengkel Branding yang saya hadiri tempoh hari, saya belajar tiada kebetulan di dalam hidup kita, semuanya telah Allah tentukan. Perjalanan hidup kita telah pun tertulis. Justeru, saya mencari-cari semula diri saya. Saya mulakan dengan imbasan-imbasan apa yang telah terjadi sepanjang hidup saya. Alhamdulillah telah saya temui dan kebenaran tentang kebetulan itu telah saya ketahui. 

Imbas kembali tahun 2013
Bermula tahun lepas saya memulakan perniagaan pakaian wanita ready-to-wear di Sara ShopStyle. Waktu itu, saya dapatkan bekalan daripada pemborong dan menjualnya melalui laman FB saya. Namun, saya rasakan seolah tiada kepuasan dan sambutan juga kurang memuaskan. Latar belakang saya yang memang meminati bidang rekabentuk membuatkan saya berkeinginan untuk belajar menjahit. Saya tekad menghadiri bengkel jahitan. Masih saya ingat waktu itu saya belajar pattern jubah dan palazo. Cikgu yang mengajar memberi tugasan 'skala kecil' iaitu membuat jubah wanita tetapi menggunakan skala kecil supaya senang untuk sesi pembelajaran mengukur, menanda, melakar, memotong dan menjahit. Ukuran-ukuran 'skala kecil' tersebut telah diberi siap-siap oleh cikgu. Kebetulan saya satu-satunya pelajar yang membawa anak ke bengkel pada hari itu. Terus saya sarungkan jubah tersebut kepada bidadari kecil saya. Walaupun bukan ukuran sebenar dia. MasyaAllah, saya sangat seronok dan anak kecil saya juga tersenyum seolah mengerti ini hasil tangan ummy. Di situlah bermulanya minat saya kepada jahitan baju kanak-kanak, dan di situlah juga bermulanya impian saya untuk rebranding Sara ShopStyle ke arah penjualan baju kanak-kanak custom made.

Imej : Jubah pertama bidadari saya


Imbas kembali tahun 2009
Saya berada dalam tahun 4 pengajian saya. Saya perlu siapkan disertasi untuk subjek Critical Thinking dengan minimum 10,000 patah perkataan. Entah kenapa di kalangan rakan seperjuangan lain yang cenderung ke arah Vernacular Architecture, Women in Architecture, saya pula memilih topik ' Dressing Architecture : In Relation With Architects and Clothing '. Asalnya saya tak tahu nak tulis apa. Tetapi dalam kepala saya hanya berminat untuk mengurai lanjut tentang persamaan yang kebetulan atau tidak kebetulan di antara kemasan fasad bangunan dan pakaian manusia. Saya bertuah dikurniakan pensyarah penyelia yang sangat dedikasi terhadap kerja dan idea saya. 

Imej : Salinan simpanan disertasi saya


Imbas kembali tahun 80-an
Saya dilahirkan pada zaman 80-an. Melihat kembali foto-foto lama, saya belajar sesuatu. Ibu saya sangat suka saya bergambar dengan gaun hasil jahitannya. Nah, sekarang saya sudah dapat pastikan dari mana minat tersebut datang. Ini suratan atau kebetulan?Alhamdulillah, persoalan tersebut telah saya temui jawapannya. 


Imej : Gambar peribadi

Semuanya pinjaman dari Allah. Allah yang tanamkan rasa minat dalam diam. Allah yang detikkan dalam hati kita. Detikan datang melalui orang di sekeliling kita. Detikan datang pada masa-masa yang dikehendakiNya. Matematiknya mudah, jika apa yang kita buat selalu tidak kena, selalu sahaja tidak berjaya, rujuk kembali kepada Allah. Mungkin bukan itu yang Allah kehendaki, mungkin ada benda lain yang lebih mendatangkan manfaat kepada kita dan orang lain.

Jazakallah

No comments:

Post a Comment